Wednesday, December 24, 2008

Dua situasi dalam satu sandiwara (ilham dari tempurung pecah)

4 comments
Semalam, sedang aku menunggu kawan di pekan, ada seorang 'macha' datang sambil bercerita sebuah kisah sedih pada aku. Mulanya, aku malas ambil pusing dengan semua hikayat kesedihan dia. Memandangkan beliau seperti orang terdesak dan berada dalam kesusahan, aku pun dengar saja cerita tersebut. Rupanya beliau dirompak, habis semua wangnya hilang.

” Saya tahu saya bangsa lain, itu orang sudah rompak sama saya. Saya mau balik S P. **** punya orang"sumpah seranah dia kepada ‘perompak’ tersebut.

Sambil bercerita kisah sedihnya, beliau meminta simpati aku untuk memberi RM 2. Walaupun dia dalam kesusahan sempat lagi ‘demand’ duit. Pelik juga aku. Aku malas nak dengar kisah sedihnya, terus aku hulurkan RM2 dengan niat untuk membantu. Dia terus berlalu pergi. Tapi kearah jalan yang tidak menghala ke stesen bas.

 Selang beberapa minit, kawan aku menegur. Tengok tu, duit tadi dia guna untuk beli ‘benda’ tu sambil ketawa berdekah-dekah. Aku terus menyambung perbualan bersama rakan-rakan yang lain. Di dalam hati betapa marahnya tuhan saja yang tahu. Tak guna punya orang. Berlakon untuk simpati, semata-mata untuk meneguk “air kencing syaitan murahan’ yang dijual di kedai. Satu isu yang semakin panas yang berleluasa di utara tanahair pada masa kini. 

Semalam, sedang aku menunggu kawan di pekan, ada seorang macha datang sambil bercerita sebuah kisah sedih pada aku. Mulanya, aku malas ambil pusing dengan semua hikayat kesedihan dia. Memandangkan beliau seperti orang terdesak dan berada dalam kesusahan, aku pun dengar saja cerita tersebut. Rupanya beliau dirompak, habis semua wangnya hilang.

” Saya tahu saya bangsa lain, itu orang sudah rompak sama saya. Saya mau balik S P. **** punya orang" sumpah seranah dia kepada ‘perompak’ tersebut.

Sambil bercerita kisah sedihnya, beliau meminta simpati aku untuk memberi RM 2. Walaupun dia dalam kesusahan sempat lagi ‘demand’ duit. Pelik juga aku. Aku malas nak dengar kisah sedihnya, terus aku hulurkan RM2 dengan niat untuk membantu. Dia terus berlalu pergi. Tapi kearah jalan yang tidak menghala ke stesen bas.

Selang beberapa minit, kawan aku menegur. Tengok tu, duit tadi dia guna untuk beli ‘benda’ tu sambil ketawa berdekah-dekah. Hati aku semakin membara dan terbakar kerana ditertawakan oleh rakan-rakan. Lantas, satu tendangan kung fu ala Eric Cantona hinggap betul-betul di saraf tunjang ‘mangsa ragut’ tadi. Tanpa aku sedari, ‘mangsa’telah lembik. Orang ramai cuba menahan aku dari terus memukulnya.Beliau bernasib baik. 

Tak guna punya orang. Berlakon untuk simpati, semata-mata untuk meneguk “air kencing syaitan murahan’ yang dijual di kedai. Satu isu yang semakin panas yang berleluasa di utara tanahair pada masa kini. 

Anda rasa peristiwa mana yang berlaku sebenarnya ?

Tuesday, December 16, 2008

Buat Sang Puteri

0 comments

Ketika inilah kisah bermula...

dua insan bercinta...

berjauhan di mata...

menjalinkan janji untuk bersama...

merentas samudera membelah gunung...

sebuah cerita cinta yang agung...

Tanah mana yang aku pijak..

berdirinya aku kasih berguguran..

pasir mana yang aku genggam...

ratap aku semakin layu bunga berkembang...

Tuah: Setapak melangkah dua langkah ingatan kanda pada dinda.

PGL : Adinda bersumpah jikalau kekanda tidak kembali,Adinda akan menyusul kekanda menginjak pada tanah yang sama bernafas pada udara yang sama

Tuah: Layar berbelok-belok, sauh dibongkar di tempat tenang,yang tinggal hati tak elok,yang pergi hati tak senang...bila sampai waktu kita akan bersama...

PGL: Sekecil burung kedidi, Adinda terbang ke hati kekanda, mengharapkan cinta yang menggunung

Tuah:Jika patah sayap rajawali bertongkat jua kanda ke mari...

Tuah:Demi segala pengorbanan yang dinda lalui...Demi segala penderitaan yang dinda alami...dan demi segala kemungkinan yang patut kanda lakukan..kanda mohon maaf.

Kembara seniman jalanan yang sehelai sepinggang

1 comments
Flat Seksyen 7

Pertama kali aku naik bas sejak di Shah Alam ,semasa part 3, tahun 2004. Habis saja kelas, aku terus ke seksyen 2. Masa tu, baru masuk UiTM, tumpang rumah sewa kawan aku di seksyen 7. Pergi ke kelas dengan tangan kosong, tak bawa apa-apa. Lagipun, kelas baru bermula. Habis kelas, aku berjalan ke perhentian bas kat Seksyen 2. Tengah menunggu bas nak balik ke rumah sewa, terserempak dengan budak batch aku kat Perak dulu. Dia tegur dan tanya aku, nak pegi mana? Aku pun tak fikir, terus cakap nak balik kampung. Dia cakap, dia pun nak balik kampung juga, boleh la ikut sekali sampai ke Puduraya.

Aku pun serba salah. Sebabnya aku rasa gundah, seperti  tak nak balik ke kampung buat masa terdekat. Dengan sehelai sepinggang lagi. Bila bas tiba, fikiran aku masih lagi bercelaru. Sambil beratur untuk naik, aku masih was-was. Nak balik ke tak? Tiba-tiba terdengar satu suara menegur aku dari hadapan. "Orang muda tak elok fikir banyak-banyak"- kata pak cik driver.

Tanpa berfikir panjang, aku terus naik. Tempat sudah penuh, nampaknya aku terpaksa berdiri dari Shah Alam hingga ke Hentian Puduraya. Tapi, berdiri di dalam bas lama dah menjadi kebiasaan pada aku sejak dulu. Tak ada la lenguh-lenguh. Bila difikir balik, entah-entah pak cik driver tadi tu cakap kat orang lain. Tapi, rasanya dia tujukan pada aku. Sebab tinggal aku sahaja yang tercegat kat depan tangga tu. Di dalam perjalanan, aku masih tertanya-tanya. Perlu ke aku balik?

Sedang mengelamun berfikir dengan tindakan aku, budak tadi pun mula bertanya. "Apasal, dok berfikir lagi ke?" Aku terus tersentap dari lamunan. Aku cakap, "rasa macam tak jadi balik la". Dia  ketawa. "Boleh pulak,  dah naik bas fikir apa lagi? balik je la" Aku tersenyum seorang diri. Bila dah sampai Central Market, dia tanya nak turun kat mana? Aku pun berpura-pura buat macam aku tau jalan-jalan di KL. Padahal itulah kali pertama aku naik bas di KL. Ikut kaki sambil menjangka. Tengok arah tujuan orang lain. Kemana hala tuju mereka? Aku ikut. Kadangkala kita perlu juga ikut kata hati sendiri. Akhirnya, aku sampai juga ke Puduraya. Sebaik tiket dibeli, aku terus telefon kakak aku untuk memberitahu perkhabaran ini. Aku nak balik kampung!

Mesej yang cuba disampaikan: Pulanglah anda ke kampung, walaupun dengan sehelai sepinggang. Ingatlah orang yang tersayang.

Tuesday, November 4, 2008

Semalam di San Francisco

3 comments

Semalam, aku berhijrah ke San Francisco. Akibat tekanan dari kalangan penjenayah dan penguatkuasa, aku terpaksa juga berhijrah ke sana. Aku ke sana ditemani oleh salah seorang bapa saudara. Sesampai di sana, kami menaiki teksi buruk dengan bayaran sewa US 30. Memang tidak berbaloi. Mahu sahaja aku pelangkung kepala driver teksi tersebut. Puas bertengkar, akhirnya aku melunaskan harga tambang tersebut menggunakan wang yang telah dibekalkan oleh ayahku di kampung.

Sampai di rumahnya, bapa saudara bercadang untuk keluar dan  menghantar ubat kepada isterinya iaitu mak cik aku. Aku nak ikut, tetapi ditegah olehnya. Belum sampai masa katanya. Untuk menghilangkan kebosanan tinggal di rumah, aku keluar berjogging. Dapatlah aku menghirup udara segar pagi hari di sekitar Jambatan Golden Gate.

Aku keluar ke Agensi Mencari Pekerjaan Bob. Nasib aku baik. Aku ditawarkan satu pekerjaan yang gajinya dibayar mengikut kiraan minggu. Berdasarkan umurku yang masih muda, aku memohon untuk melakukan kerja yang dilakukan oleh 2 orang. Semuanya kerana ingin mendapat lebih sumber kewangan. Maklumlah berada di tempat orang, saudara pun tiada. Kerani tersebut membuat penyusunan jadual agar dapat disesuaikan dengan masa untuk aku bekerja.

Setelah penat selama seminggu mengumpul sampah-sarap di sekitar San Francisco, akhirnya usaha aku berbaloi. Aku mendapat upah setelah seharian mencari sampah sepanjang minggu. USD 100. Itulah upah pertama yang aku terima.

Aku menghulurkan USD 100 kepada bapa saudaraku sekembalinya di rumah. Kemudian, beliau menyuruh aku untuk berkemas dengan kadar segera. Aku terpaksa berpindah ke Seattle untuk menyambung pengajianku di sana. Belajar sambil bekerja. Satu perkara yang amat sukar.

Seattle!!!Aku cabar engkau!!! Nantikan kemunculan ku disana. (sambil menjerit gaya Rosyam dalam filem KL Menjerit)

Monday, November 3, 2008

Nama yang bersifat glokal

4 comments

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ada apa dengan nama?


Orang kita memberi bermacam-macam nama. Ada yang nama anak panjang berjela-jela, tapi bila dipanggil pendek juga. Nama timangan katanya. Kadang-kadang , nama panggilan, timangan dan gelaran yang diberikan itu-tiada kena mengena langsung dengan individu terbabit. Kesian juga pada anak-anak mereka. Contohnya, semasa mengambil peperiksaan (kertas soalan yang tak memerlukan cetakan komputer). Terpaksa mengambil masa untuk menulis nama mereka yang panjang.

Jadi,
Bakal-bakal ibu atau bapa adalah disarankan terlebih dahulu memikirkan nama-nama yang bersesuaian. Fikirkan masa depan anak-anak mereka sebelum memberi nama. Baik dari pelbagai segi positif.

1. Nama anak panjang berjela(itu belum termasuk nama ayah)

Nama yang panjang berjela-jela, tapi panggilannya sangat pendek. Seringkas 1 huruf.

2. Nama yang sukar dieja.

Nama yang sedap disebut, tapi nak mengejanya susah. Ejaan tunggang langgang.

3. Nama yang sebutannya susah

Nak menyebutnya amat sukar, tergeliat lidah dibuatnya.

4. Nama antarabangsa

Ada juga yang memilih nama yang ejaan dan sebutannya persis nama mat saleh. American stylelah kata mereka.

5. Nama gabungan (ibu dan bapa)

Ada juga sebilangan manusia yang terlebih "kreatif". Hasilnya memang unik dan entah apa-apa. Maksud pun belum tentu ada. Kalau mempunyai maksud, dikira masih relevan. Yang sedihnya kalau yang tak bermaksud langsung.  Hilang identiti dan ciri-ciri Islamik.  


Menurut para ulama, semasa dihimpunkan di Padang Mahsyar nanti, akan dipanggil nama-nama mengikut giliran. Akan tetapi mereka itu takkan dengar.

Sebabnya,

itu bukan nama panggilan mereka. Jadi biasakan diri memanggil nama anak-anak anda atau orang lain dengan nama penuh. beri nama yang mempunyai maksud-maksud yang baik.

"Kalau susah nak sebut, bermakna unik dan ada nilai komersial"- kata Orang Awam.

Terlampau terikut-ikut dengan peralihan zaman, trend, moden atau globalisasi. Semuanya nak ikut. Perkara yang baik kurang diendah yang buruk dipuja-puja. 

Bagi aku, ada nilai komersial, ada nilai estetika, ada nilai sentimental atau nilai-nilai lain(walaupun nilai moral sekalipun) kalau tiada makna, tetap tiada gunanya. JANGAN terlampau melebih. Kalau boleh, carilah nama yang membawa makna dan ada sejarah di dalam Islam.

"Senyuman memberi seribu erti, nama memberi sejuta makna". Kesimpulannya, tak guna kalau nama tak ada makna.-Manusia Tangan ke-2.




Sunday, November 2, 2008

Fakta pelik tentang aku # 2

2 comments
Wujud kecelaruan antara dua benda. Sejak kecil sampai sekarang aku masih keliru untuk membezakan perkara-perkara ini.

1. Tumit dan buku lali


Mungkin aku keliru kerana kedua-dua kedudukan anggota badan ini terletak berdekatan antara satu sama lain. Kadangkala aku juga keliru antara lutut, buku lali dan tumit. Bila bercakap bab2 kedua-dua anggota ini (kadangkala 3), aku mengambil masa agak lama sedikit ( sambil berfikir) untuk memastikan ianya betul. Kekeliruan ini dapat dikesan ketika menjawab soalan sains sekolah menengah. Sejak itu, hidup aku telah berubah. Menjadi manusia unik yang penuh dengan kekeliruan.

2. Kunyit dan halia


Aku kurang pasti bila masanya kekeliruan ini wujud dalam diri aku. Mungkin semasa emak aku mengirim barangan masakan di kedai. Mungkin juga, semas aemak menyuruh aku mengambil halia atau kunyit yang ditanam di belakang rumah. Tapi yang pasti, aku memang keliru dengan dua bahan masakan ini.

3. Awan dan langit


Awan biru. Kenyataan tentang awan biasanya salah. Ini juga salah satu kekeliruan yang wujud dalam diri aku.

Contohnya,
Manusia Sekenhen: Cuaca hari ini elok. Awan pun biru. Kalau ambil gambar tentu cantik.



Tuesday, October 28, 2008

Teknik pemeringkatan 2 kali dan kewujudan "Kaki Press"

2 comments

Salah satu perkara yang amat popular pada zaman persekolahan aku dahulu ialah menggelarkan nama rakan-rakan sekelas dengan nama bapa mereka. Mungkin inilah trend pada zaman tersebut. Perkara pertama yang dilakukan, membuka buku rekod dan kedatangan pelajar. Di bahagian belakang buku inilah tersimpan segala rahsia. Rahsia tentang maklumat ibu bapa dan nenek moyang mereka dapat dibongkar. 

Di dalam kelas amali sains, cikgu yang mengajar sering memanggil nama-nama para pelajar. Ianya bertujuan untuk memastikan mereka tidak ponteng kelas. Sebenarnya, pihak sekolah telah memperkenalkan cara tersendiri untuk memastikan pelajar-pelajar tidak ponteng - Penanda Kehadiran yang ditanda dan dikuasai oleh ketua kelas. Tapi disebabkan ketua kelas kami yang ikut sama terlibat dalam aktiviti ponteng-memonteng, maka keberkesanan sistem ini amat diragui oleh guru-guru. Jadi guru-guru terpaksa membuat inisiatif tersendiri bagi mengelakkan perkara ini berlaku secara berleluasa. Maka wujudlah, teknik pemeringkatan 2 kali

Bila disebut sahaja nama seorang demi seorang pelajar, terdengar sekali suara-suara lain umpama penyanyi latar yang bersahut-sahutan di dalam kelas.

Cikgu Muliati : Mohd Aidil

Pelajar :Mohammed( bayangkan dengan kesan echo)

Cikgu Muliati :Ahmad Junaidi

Pelajar :Hassan Sabri ( bayangkan dengan kesan echo)

Cikgu Muliati :Dzulrizal

Pelajar :Zuhri ( bayangkan dengan kesan echo lagi)

Itu belum lagi termasuk dengan individu yang kaki press (menekan perkataan hingga membingitkan dan menyakitkan hati). Spesis kaki press  ini memang banyak terdapat di dalam kelas aku. Istilah ini kemungkinan hanya diketahui oleh kami sahaja.

Monday, October 27, 2008

Fakta pelik tentang aku # 1

3 comments

Pernah 2 kali ke panggung wayang.

Sepanjang umur aku selama lebih kurang sesuku abad, aku hanya pernah ke panggung wayang sebanyak 2 kali. Betapa daifnya aku dalam bab ini. Walaupun aku selalu mengkritik filem dari segi teknikal dan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati, tetapi aku sebenarnya seorang yang tidak suka ke panggung. Aku lebih gemar menonton VCD atau DVD di rumah. Filem pertama yang aku tonton adalah The Matrix Reloaded (2003). Kami pergi menonton di Cathay (kini sudah tidak wujud kerana dijadikan bangunan baru yang menempatkan 2 buah kedai restoran segera). Betapa bosannya filem tersebut hinggakan aku tertidur. Aku terjaga apabila terdengar kesan bunyi yang kuat semasa adengan perang di pertengahan jalan cerita filem tersebut.

Filem kedua yang ditonton aku adalah Bo Bui Gai Wak (Rob-B-Hood). Tontonan ini berlaku secara tidak sengaja. Pada mulanya aku dan 2 orang rakan serumahku ingin menonton filem H****. Sungguh kuat penangan filem tersebut (mungkin kesan dan peranan media dalam pengiklanan) hinggakan kami bertiga pergi ke panggung. Lokasinya Jusco, Bukit Raja. Masing-masing mundar-mandir untuk membeli tiket (kerana filem tersebut filem cinta yang sesuai untuk pasangan kekasih). Bila sampai ke kaunter, filem tersebut telah 15 minit ditayangkan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menonton filem terbaru lakonan Jackie Chan dan Louis Koo - Rob-B-Hood.

Di dalam panggung, hanya kami sahaja yang menonton secara serius. Genre filem tersebut lebih kepada komedi, santai dan menghiburkan, tetapi kami kurang faham dengan apa yang diceritakan di hadapan skrin. Jadi mahu tak mahu kami terpaksa fokus dengan setiap adengan yang dipaparkan. Semasa penonton lain ketawa, kami pun turut ketawa. Mungkin inilah salah satu "tindakan refleks"- gerak balas yang berlaku dengan cepat dan tanpa berfikir. Ianya berlaku aak lambat. Bila tamatnya tayangan tersebut, semua penonton berasak-asak keluar. Dalam keramaian itu, aku dapati hanya kami bertiga Melayu. Memang kami fokus semasa tayangan tadi. Sebab yang pertama, kami tak faham langsung dialog perbualan sepanjang filem ditayangkan, keduanya tiada sarikata (mungkin filem baru).

Bila sudah lama di pawagam, aku mengulangkaji semula filem tersebut dengan DVD. Kini, barulah aku faham dialog percakapan dan keseluruhan jalan ceritanya.

Saturday, October 25, 2008

Kenapa graduan menganggur?

2 comments
1. Kemahiran yang pelbagai (multi-skills person)

Kebanyakannya mempunyai pelbagai kemahiran (multi skills). Lihat sajalah di dalam kad perniagaan mereka. Pelbagai perkhidmatan dapat disediakan mereka. Contohnya, Graphic Designer(pereka grafik). Kemahiran lain yang mereka ada(terpapar di kad) adalah fotografi, animasi, rekabentuk model 3d, pereka web serta apa sahaja yang berkaitan dengan seni visual. Kesemuanya perkhidmatan dapat mereka tawarkan. Jadi, ianya menyempitkan ruang dan pekerjaan untuk para graduan jurusan bidang tersebut.

Aku tak salahkan mereka, mereka mempunyai bakat. Tapi, mungkin disebabkan kemahiran yang pelbagai ini, mereka hilang fokus. Jadi mereka tidak dapat menumpukan perhatian dan kerja yang memuaskan di dalam bidang ini. Inilah pentingkan pengkhususan dalam kerja.

Pelbagai perkhidmatan disediakan dalam satu pakej. Gambar sekadar hiasan

Graduan jurusan lain juga seperti seni bina juga mempunyai kemahiran lain. Walaupun berkelulusan dalam bidang seni bina, senireka dalaman dan sebagainya, mereka masih lagi mempunyai kemahiran lain seperti rekaan grafik dan fotografi. Walaupun permulaannya hanya sekadar hobi atau sekadar suka-suka (menyunting gambar di dalam myspace atau friendster). Mereka berani meletakkan diri setanding dengan orang yang berkecimpung di dalam bidang tersebut. Maka, lahirlah graduan yang serba boleh. Ini yang kita perlukan pada era globalisasi ini- "kemahiran yang pelbagai".

Kesan dari kecelaruan jurusan ini, maka lahirlah pereka yang tidak layak digelar pereka(tidak menepati tahap). Mereka hanya pandai menyuntingan gambar, tahu tentang basic adjustment seperti contrast, level dan crop (tak tahu menggunakan fungsi peralatan lain)menciplak karya dari internet, menggunakan brush secara berleluasa (hasilkan rekaan dengan brush semata-mata tanpa motif) dan rekaan lain yang entah apa-apa. Wujudnya jurugambar auto DSLR (yang sekadar mengambil gambar tanpa penyelarasan pada kamera). Mereka tidak mengetahui apa itu ISO, dedahan, shutter, aperture dan teori-teori lain.

Jika ada diantara mereka ini yang berbakat, rasanya memang tak salah. Malah kedatangan graduan dari jurusan lain amat dialukan bagi merancakkan lagi seni visual dan seni reka tempatan. 

2. Kecelaruan dalam bidang (permohonan dalam talian)

Kebanyakan laman web sudah mengalami kecelaruan bidang sebagai syarat kelayakan untuk memohon jawatan melalui talian. Contohnya, kekosongan jawatan sebagai pereka di kilang kasut (shoe and footwear). Kelulusan pemohon adalah teknologi kasut, tetapi syarat untuk jawatan itu tertulis Anda tidak layak - Mengikut maklumat kelayakan yang anda nyatakan kepada sistem, anda dikira tidak layak untuk kekosongan ini. Sila kemaskini maklumat kelayakan anda sekiranya anda merasakan anda layak atau pilih kekosongan lain. Bila disemak pada sistem, syarat kelayakan adalah dalam bidang senireka fesyen. Apakah anda tersalah jurusan? Mungkin kelulusan anda untuk sektor lain?

Kes ke-2, 

Kekosongan jawatan sebagai jurugambar. Kelulusan pemohon adalah dari bidang fotografi, tetapi syarat untuk jawatan itu, masih tertulis Anda tidak layak - Mengikut maklumat kelayakan yang anda nyatakan kepada sistem, anda dikira tidak layak untuk kekosongan ini. Sila kemaskini maklumat kelayakan anda sekiranya anda merasakan anda layak atau pilih kekosongan lain (sakit hati tak?). Bila disemak pada sistem, syarat kelayakan adalah dalam bidang seni reka grafik. Apakah anda tersalah jurusan lagi? Mungkin kelulusan anda untuk sektor lain juga?

Mungkin mengikut sistem,

1. Kekosongan jawatan sebagai pereka kasut?

Diisi untuk mereka yang berkelulusan dalam rekaan fesyen.

(Mungkinkah pereka-pereka kasut ternama sebelum ini, terhasil dari graduan jurusan fesyen? Mereka mungkin kreatif di dalam rekaan baju, jadi tak mustahil mereka dapat menggunakan kemahiran jahitan dalam pembuatan kasut)

2. Kekosongan jawatan sebagai jurugambar?

Diisi untuk mereka yang berkelulusan dalam rekaan grafik.

Mereka bekerja dalam bidang rekaan, jadi untuk menyunting dan memanipulasikan gambar memerlukan kelayakan dalam bidang seni reka grafik. Ini disebabkan pendedahan asas dalam kelas fotografi (2 jam kredit) yang diambil semasa pengajian mereka di IPTA dan IPTS. Mungkin juga, kemampuan mereka membeli dan mengambil gambar dengan kamera DSLR yang dibeli semasa kelas pengajian.

Contoh-contoh lain yang malas hendak dihuraikan.

3. Kekosongan jawatan sebagai pereka grafik?

Diisi untuk mereka yang berkelulusan dalam rekaan multimedia atau animasi

4. Kekosongan jawatan sebagai juru video?

Diisi untuk mereka yang berkelulusan dalam bidang fotografi

5. Kekosongan jawatan dalam bidang seni persembahan atau filem?

Diisi untuk mereka yang berkelulusan dalam bidang seni audio dan visual.



Wednesday, October 22, 2008

7 TIPS UNTUK SESEBUAH FILEM DAN DRAMA MELAYU

2 comments

1. Membuat panggilan.

Seorang pelakon mendail nombor yang hendah dihubungi. Setelah mendail nombor, tidak sampai dua saat dia sudah berkata-Hello. Adegan ini memang wujud dalam drama tempatan Melayu sejak dahulu hingga kini. Dalam filem mungkin, jarang berlaku kerana tetelitian pengarah. Kalau ada pun, mungkin sudah terlepas pandang. Masih boleh dimaafkan.

2.Waktu kecemasan.

Pelakon akan menjawab panggilan telefon dengan riak wajah yang sedih, terkejut dan seangkatan dengannya sambil menyebut- Apa?

Adegan di dalam bilik bedah atau ICU, Seorang doktor yang merawat keluar dari bilik, pelakon utama dan watak sampingan dalam drama tersebut akan mula bertanya soalan yang agak klise (anda tentu tahu dialog mereka bukan). Bagaimana keadaan "beliau" doktor? Banyak dialog di sini sudah diulang-ulang sebanyak ratusan kali. Banyak lagi pendekatan boleh digunakan untuk menggambarkan situasi ini.

3. Penggunaan bahasa "ROJAK"

Dialog yang sering digunakan dalam perbualan biasanya bercampur baur dari inggeris ke melayu, kemudian melayu ke inggeris. Ayat yang biasa digunakan untuk mencantikkan dialog - Now, i tell u what (paling banyak digunakan).

4. Makan dan berbual

Makanan yang dihidangkan biasanya stik (steak) atau makanan mahal seperti di restoran dan hotel. Kadangkala pelakon bersembang sambil memotong stik sambil menguyah. Jika makanan lain, mereka akan berdialog sambil makan (nak tak nak). Topik perbincangan adalah tentang perniagaan, perhubungan, percintaaan dan sebagainya. Minuman jus oren (minuman paling digemari) dalam adegan seperti ini.

5. Perbualan dan lokasi pertemuan

Lokasi pertemuan yang paling digemari biasanya di lereng bukit yang berlatarbelakangkan Menara KL dan KLCC. Latar bangunan yang tersergam indah dengan simbahan cahaya lampu mungkin dapat mewujudkan satu situasi yang agak klasik dan romantik. Ianya umpama simboliknya Menara Eiffel, Paris dengan percintaan tetapi dalam acuan dan gaya Malaysia.

Tempat pertemuan mereka juga sudah berubah seiring dengan kemajuan yang dikecapi di Malaysia. Lokasinya diubah ke destinasi baru yang lebih menarik-Jambatan Putra, Putrajaya. Sehinggakan wujudnya aksi perlumbaan dan gelongsor tayar (drift) di jalan-jalan sekitar Putrajaya.

Walau bagaimanapun, lokasi berlatarkan pemandangan malam masih lagi menjadi pilihan para pengarah dan penerbit drama/filem. Mungkin tempat ini mempunyai nilai sentimental terhadap produksi mereka. Mungkin juga mudah bagi mereka untuk membuat pengambaran di sana (jika merujuk kepada pengangkutan, kos, jarak dan sebagainya).Pilihan di tangan anda.

6. Jeritan tanpa punca

Kebanyakkan filem seram tempatan memaparkan banyak adegan menjerit. Pengarah filem tersebut mungkin lupa bahawa sebenarnya penontonlah yang perlu menjerit ketakutan, bukannya pelakon. Mungkin dengan jeritan  memberi elemen kejutan dalam cerita.

7. Penamat cerita

Kebanyakan filem seram karya penerbit tempatan akan berakhir dengan mimpi semata-mata. Anda mungkin tak perlu lagi ke panggung wayang (jika ada filem seram baru) kerana kesudahannya sudah anda ketahui, hanya mimpi.

Pesanan

Dengan maklumat yang diterangkan di atas, kita dapat mengenalpasti identiti dan gaya pengarahan drama seseorang pengarah. Mungkin juga, satu aras penanda bagi hasil produksi mereka. Kita dapat mengenal, baik dari segi gaya persembahan, sinematografi, senarai pelakon, dan pengarah.